Friday, July 20, 2012

Menakluk Kosmos - KRU Wings


Syarikat rakaman KRU Music sanggup berbelanja besar semata-mata untuk mendapatkan kumpulan rock legenda, Wings, bernaung di bawah label mereka. Presiden Eksekutifnya, Norman Abdul Halim, berkata meskipun jumlahnya besar, ia amat berbaloi dengan status kumpulan rock terhebat disandang mereka ketika ini. 

"Boleh dikatakan inilah pelaburan terbesar pernah dikeluarkan label kami setakat ini. Ia merangkumi kos pembikinan album, penghasilan klip video, strategi pemasaran dan juga promosi. Tapi ia tidak menjadi halangan kerana status mereka sebagai legenda rock membuatkan kami rasa perbelanjaan besar yang kami keluarkan itu berbaloi," ujar Norman pada sidang media Lagenda Rock Menakluk Kosmos di ibu negara, petang semalam. 

Dengan penyertaan kumpulan popular itu dalam KRU, menurut Norman, ia sekali gus membuktikan label itu bersikap terbuka menerima karya orang lain. 

"Sebelum ini ramai mengatakan kami banyak menggunakan tenaga kerja dalaman untuk berkarya. Bagi album Wings nanti, kami tidak akan campur tangan dalam soal rakaman, konsep lagu dan susunan muzik. Semuanya kami serahkan kepada mereka. Cuma kami akan terbabit dalam soal pemasaran, promosi, pembikinan klip video dan juga pemasaran dari segi digital," terangnya. 

Norman bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah sebenar dikeluarkan untuk mendapatkan kumpulan terbabit. Sebaliknya dia menyifatkan kerjasama itu sebagai situasi menang-menang buat kedua-dua pihak. 
"Kontrak ini dibuat berdasarkan persahabatan dan mengikut projek album. Kalau mereka puas hati, kerjasama ini boleh disambung lagi," kata Norman. 
 
Ambil masa fikir tawaran 

Sementara itu, Awie mendedahkan keputusan menerima tawaran itu tidak dibuat dalam sekelip mata. Banyak perkara perlu diambil kira supaya hasrat menghasilkan album terbaik selepas sedekad tanpa produk baru dapat dicapai. 

"Sebelum ini memang ada syarikat rakaman lain menawarkan kami untuk menjadi artis rakaman mereka. Namun kami tolak kerana tawaran itu tidak memenuhi kehendak kami. 

"Pemilihan KRU Music sebagai label baru kami ini pun mengambil masa agak lama. 
Selepas membuat perubahan dari segi kontrak dan masing-masing puas hati, barulah kami bersetuju menyertai mereka," katanya yang menandatangani kontrak itu awal bulan ini. 

Kejayaan demi kejayaan dilakar Norman, Yusry dan Edry serta keupayaan mereka mengendalikan label itu membuatkan mereka yakin untuk menerima tawaran berkenaan. 

Mengenai pembikinan album yang berjudul Menakluk Kosmos itu, Awie berkata, mereka masih lagi mencari material yang sesuai. 

"Ada beberapa lagu sudah pun dirakam dan kami akan masuk ke studio lagi pada hari ketiga puasa. Memang agak sukar untuk kami mencari lagu baru yang sesuai dengan cita rasa masa kini. 

"Walaupun ada pembaharuan tapi tanda dagang muzik Wings, iaitu bunyi gitar dan ketukan dram, tetap dikekalkan," ujarnya. 

Kali terakhir Wing merakamkan album ialah sedekad lalu menerusi Naga K'ramat terbitan BMG.




Sumber Utusan

Wednesday, July 11, 2012

Kelebihan Ayat Kursi



Kelebihan Ayat Kursi



AYAT 255 surah al-Baqarah disebut ayat Kursi kerana dalam ayat tersebut terdapat kata "kursi Allah" yang meliputi langit dan bumi. Kata kursi membawa erti takhta, singgahsana, tempat duduk, kekuasaan, pengetahuan dan simbol autoriti.

Itulah sebabnya ayat itu di sebut "ayat Kursi" yang melambangkan kekuasaan Allah SWT yang meliputi langit dan bumi. Ayat ini sepanjang zaman telah menghidupkan suasana keagamaan umat Islam dari semasa ke semasa. Ayat Kursi begitu popular hingga kaligrafi ayat ini sering terdapat di rumah kaum Muslim.

Ayat Kursi dinilai sebagai salah satu ayat yang termulia dalam al-Quran kerana di dalamnya terdapat 17 kata yang menunjuk kepada Allah SWT daripada 50 kata yang terdapat di dalamnya. Apabila dihayati, 17 kata yang menunjukkan nama Allah itu akan memberi kekuatan batin pembacanya.

Terdapat ulama yang mengatakan bahawa 50 kata adalah lambang 50 kali solat yang pernah diwajibkan Allah kepada Muhammad ketika mikraj dan 50 kali itu diringankan menjadi lima kali dengan 17 rakaat sehari semalam. Di sisi lain, perjalanan menuju Allah ditempuh oleh malaikat dalam 50 tahun menurut perhitungan manusia.

Ayat Kursi lebih agung jika dibandingkan dengan ayat-ayat lain. Dalam ayat Kursi terdapat sejumlah nama dan sifat Allah SWT yang melebihi ayat-ayat lain. Intipati nama dan sifat Allah SWT yang berjumlah 99 itu diungkapkan dalam satu ayat hanya pada ayat Kursi.

Dalam satu kisah disebutkan bahawa ketika para sahabat sedang bertukar fikiran tentang ayat-ayat yang paling mulia, Ali berkata kepada mereka: "Bagaimana pandangan kamu tentang ayat Kursi?" Ali kemudian berkata: "Rasulullah SAW berkata kepadaku 'hai Ali, penghulu sekalian manusia adalah Adam, penghulu bangsa Arab adalah Muhammad tanpa rasa sombong, kalam yang terbaik adalah al-Quran, penghulu al-Quran adalah al-Baqarah dan penghulu al-Baqarah adalah ayat Kursi'."

Terdapat beberapa hadis yang menjelaskan keutamaan ayat Kursi, misalnya yang diriwayatkan Ali bin Abi Talib. Hadis itu berbunyi: "Tidak dibaca ayat ini (ayat Kursi) dalam sebuah rumah kecuali syaitan-syaitan lari meninggalkannya selama 30 hari dan tukang sihir laki-laki dan wanita tidak akan memasukinya selama 40 hari."

Ali juga menceritakan bahawa ia pernah mendengar Nabi SAW berkhutbah di atas mimbar dan berkata: "… dan barang siapa yang membacanya pada saat tidurnya, Allah akan mengamankannya, tetangganya, tetangga dari tetangganya dan rumah-rumah yang ada sekitarnya."

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Bakar bin Mardawaih, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Barang siapa yang membaca ayat Kursi setiap penghujung solat wajib, maka tidak ada yang mencegahnya masuk syurga kecuali kematian dan tidak ditetapkan padanya kecuali sebagai siddiq (benar atau jujur) dan abid (tekun beribadah)." Sumber



Sharing is caring

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...