Tuesday, January 08, 2013

Perak, PROTON bangun semula Tanjung Malim



Kerajaan negeri Perak dan PROTON Holdings Bhd akan membangunkan semula kawasan Tanjung Malim sebagai hab industri automotif nasional. 

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata langkah itu adalah di bawah perancangan gagasan Perak Amanjaya yang akan memberi impak yang lebih besar kepada pembangunan negeri dalam tempoh lima tahun. 
Katanya, kerajaan negeri kini menggerakkan semula inisiatif itu, yang sebelum ini hampir tidak berjaya, menerusi beberapa siri mesyuarat dan pertemuan bersama-sama pengurusan Proton Holdings Bhd. 


"Saya sudah mengadakan pertemuan dan mesyuarat khas dengan pihak pengurusan PROTON Holdings. Hasil beberapa siri perbincangan, PROTON Holdings memutuskan untuk menggerakkan semula Tanjung Malim," katanya kepada media selepas majlis perhimpunan dan Ceramah Eksekutif kepada kira-kira 3,000 penjawat awam negeri Perak di sini semalam. 

Susulan itu, katanya, kawasan Shah Alam yang kini menjadi pusat operasi pengeluar kereta nasional itu, akan beralih ke Proton City, Tanjung Malim secara berperingkat. 

Proton City yang dibuka pada Ogos 2004 dan kini mengeluar tiga model Proton iaitu Persona, Gen2 dan Preve. 

Kilang itu terletak di atas kawasan seluas 517.12 hektar dan lima kali lebih luar berbanding kilang Proton Shah Alam yang berkeupayaan mengeluarkan 150,000 unit kereta setahun. 
Zambry berkata, ia adalah berita baik kepada Perak yang merancang menjadikan kawasan selatan negeri itu sebagai pusat pembangunan terkini dan ia akan mengalami pembangunan pesat dalam tempoh lima tahun akan datang. 

Bagaimanapun, katanya beliau tidak dapat memperincikan pelan pembangunan itu namun berdasarkan perancangan kerajaan negeri, Tanjung Malim akan memenuhi pembangunan Lembah Klang seperti yang berlaku di kawasan Seremban, Negeri Sembilan kini. 

Mengenai cadangan untuk menempatkan syarikat pemasang automotif yang lain di Tanjung Malim, beliau berkata tanah berkenaan adalah milik PROTON Holdings.

source : BH
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...