Perdana Menteri Yaman, Ali Muhammed al-Mujawar, mendakwa kumpulan al-Qaeda asalnya ditubuhkan di Barat dan tidak pernah diwujudkan di negaranya, lapor agensi berita kerajaan, Saba.Mujawar membuat kenyataan itu pada satu pertemuan dengan duta negara Asia dan Afrika ke Yaman bagi menjelaskan pendirian Sanaa ke atas pihak yang cuba mewujudkan pandangan negatif membabitkan serangan bungkusan bom yang dihantar ke Amerika minggu lalu.“Al-Qaeda adalah kumpulan yang ditubuhkan Barat dan tidak pernah dibentuk di Yaman. Ia adalah dakwaan pihak yang cuba mewujudkan pandangan negatif terhadap Yaman,” kata Mujawar yang dipetik laman web, semalam.
Beliau juga menggesa masyarakat antarabangsa supaya terus menyokong usaha Yaman membanteras pengaruh al-Qaeda pada peringkat wilayah.
Mujawar membayangkan al-Qaeda wujud selepas Amerika membiayai pejuang mujahidin bagi mengusir tentera Soviet Union di Afghanistan pada 1980-an.
Amerika meningkatkan tekanan ke atas Yaman selepas menuduh al-Qaeda berlindung di negara itu dan merancang operasi keganasan terhadap kepentingan Washington.
Jumaat lalu, laporan menyatakan, kumpulan al-Qaeda di Semenanjung Arab (AQAP) yang bergerak di Yaman mendakwa bertanggungjawab mengirimkan bungkusan bom ke Amerika.
Kumpulan itu juga mendakwa bertanggungjawab menembak jatuh sebuah pesawat kargo di Dubai pada 3 September lalu dan menambah ia akan meneruskan serangan ke atas kepentingan Amerika dan sekutunya.
Yaman juga dilaporkan meningkatkan usaha memerangi kumpulan pengganas yang semakin menimbulkan kebimbangan antarabangsa selepas dua bungkusan bom ditemui di dalam sebuah pesawat kargo menuju ke Amerika, minggu lalu.
Sabtu lalu, seorang hakim di negara itu mengarahkan tentera memburu dan menahan seorang ulama kelahiran Amerika, Anwar al-Awlaki beberapa hari selepas perbicaraan tanpa kehadirannya berlangsung di Sanaa.
Awlaki yang dipercayai tokoh kanan AQAP didakwa atas tuduhan merancang membunuh warga asing. Keputusan mengarahkan penahanannya dibuat hanya beberapa minggu selepas cubaan AQAP menghantar bom menggunakan pesawat kargo berjaya dikesan dan ditumpaskan.
Awlaki disyaki bersembunyi di wilayah Shabwa tempat tentera kerajaan melancarkan serangan ke atas kumpulan al-Qaeda sebelum itu. – Berita Harian
Tuesday, November 09, 2010
Barat Mencipta Al-Qaeda
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment