Saturday, November 06, 2010

Ford Fiesta




FORD Fiesta. Namanya mungkin asing bagi peminat kereta di Malaysia. Namun kereta kompak dalam segmen B ini telah pun berada di pasaran tempatan sejak tahun zaman 1970-an lagi.

Ketika itu, Ford ialah konglomerat yang mencipta kereta sendiri tanpa berkongsi platform. Model dari versi MK I hingga MK V tidak langsung kita kenali kerana model segmen C Ford (TX3/Focus) sudah menempa kejayaan yang boleh dibanggakan.

Pasaran kereta Malaysia untuk segmen B sebenarnya bermula agak lewat. Sekitar 10 tahun lalu apabila Toyota Vios menggantikan model Corolla dan Honda City menggantikan model Civic.

Ketika harga kereta semakin mahal dan kemampuan membeli model daripada segmen C kian mengecil, segmen B dilihat mendominasi pasaran. Buktinya? Lihat sahaja dari mana Toyota dan Honda mengaut keuntungan mereka.

Perodua juga terbukti berjaya dengan Myvi. Jika anda kata itu satu kebetulan, ia sebenarnya kukuh dengan alasan kemampuan membeli rakyat Malaysia memang tidak berubah sedangkan harga kereta semakin mahal saban tahun.

Ford Fiesta mula diperkenalkan oleh pihak Sime Darby Auto ConneXion (SDAC) secara tidak rasmi beberapa bulan yang lalu.

Kereta ini telah diletakkan di lokasi strategik terutama pusat membeli-belah terkenal di ibu kota untuk memberi ‘petunjuk’ kepada pengguna bahawa Ford bakal memperkenalkannya tidak lama lagi.

Hampir sempurna

Walaupun sudah berada di Eropah sejak tahun 2008, benua Asia Tenggara menerimanya selewat tahun ini. Berita baiknya, kita mendapat model yang hampir sempurna.

Segala masalah yang diadu di Eropah telah pun diperbaiki untuk pasaran Asia. Untuk makluman, model ini dipasang di kilang Ford di Rayong, Thailand.

Sejak membeli pegangan besar dalam Ford, banyak aspek perkongsian teknologi dimanfaatkan oleh Ford dan Mazda. Anda boleh meninjau model pasca 1990-an yang begitu sinonim antara Ford dan Mazda.

Platform yang sama turut digunakan untuk menghasilkan Mazda2 (atau Demio di Jepun). Biarpun dalam beberapa versi sebelum ini, Mazda kelihatan menang dari segi reka bentuk (bandingkan Mazda3 dan Focus), Fiesta ternyata memintas Mazda.

Malah jika anda letakkan Mazda2 hatchback dan Fiesta hatchback bersebelahan, pasti semua bersetuju bahawa Fiesta lebih sporty.

Reka bentuk sahaja tidak mendatangkan apa-apa faedah tanpa kehadiran teknologi. Orang Asia memang mementingkan rekaan daripada segala-galanya. Sebab itu jugalah kenapa model Chevrolet Aveo boleh dijual walhal teknologinya setaraf dengan Nissan Vannette.

Semuanya berkaitan reka bentuk. Ford menyedari kesilapan lalu dan tidak mahu lagi melihat Asia sebagai pasaran kereta kelas kedua mereka. Kali ini, Fiesta menang hampir dari semua aspek jika anda bandingkan kereta yang sekelas dengannya.

Tiga varian diperkenalkan. 1.4 manual, 1.6 sedan dan 1.6 hatchback. Paling mendapat tumpuan ialah model 1.6 liter kerana ia didatangkan dengan enjin berkuasa 120ps dengan transmisi automatik enam kelajuan dwiklac.

Tidak ada kereta dalam kelasnya dengan transmisi begini kerana seperti yang sedia maklum, ia memerlukan kos tinggi untuk dibangunkan.

Transmisi jenis klac berkembar (berfungsi sama seperti DSG pada Volkswagen) ini membolehkan gear bertukar lebih lancar seperti CVT tetapi dengan operasi yang sama seperti kotak gear jenis konvensional.

Pengalihan gear

Kelebihan klac berkembar ialah kedudukan gear yang ‘bersedia’, walaupun sebelum ia sepatutnya bertukar. Maksudnya, ketika anda menekan pedal pada kedudukan gear satu, gear dua telah pun berada dalam keadaan separa kunci pada torque converter. Ini membuatkan lega masa pengalihan antara gear adalah lebih cepat dan hampir langsung tiada senggukan.

Pakej Fiesta ini juga datang dengan stereng kuasa kawalan elektrik atau dipanggil sebagai Electronic Power Assisted System (EPAS) oleh Ford. Sudah tentu EPAS menjadikan stereng berasa lebih ringan dan mudah diputar.

Selain itu, ia turut didatangkan dengan sistem keselamatan seperti ESP (Electronic Stability Programme) bersama TCS (Traction Control). Tidak dilupakan, bantuan brek kecemasan atau EBA.

Bahagian dalamannya juga cukup bagus dari aspek ciri, rekaan dan kualitinya. Saya boleh katakan, sesetengah cirinya patut ada pada model kompak premium seperti Honda Jazz.

Fiesta dibekalkan dengan sambungan bluetooth bersama modul kawalan suara, sambungan USB dan Ipod. Selain susunan papan pemuka dan bentangan meter yang kontemporari.

Di bahagian tengah papan instrumentasi tersebut terletak paparan maklumat bersaiz 2DIN yang saya kira membuatkan kereta ini tampak premium. Jadi berapakah harga untuk memiliki kereta ini? Ia mungkin penantian yang berbaloi untuk mereka yang masih setia menunggu ketibaannya.

Model asas 1.4L manual dijual pada RM69,888. RM78,888 untuk 1.6L Sedan dan RM82, 888 (1.6L Sport). Oh Ya, hatchback sport itu mencatat penarafan lima bintang dalam ujian EuroNCAP. Sebagai hadiah tambahan, SDAC turut menawarkan jaminan 3 tahun atau 30,0000 kilometer.



4 comments:

saya_arief said...

smart.
:D

Nizam Zahri said...

ko beli la satu.. boleh bwk aku jalan3 nnanti

Anonymous said...

pejal,tukar kos lah ko..haha..aku tgk entry ko semue dh mcm ala2 wartawan dh.haha..lps ni ko bleh la mintak keje jd wrtawan.haha :P
Tp dlm kewartawan,pendulu ayt utama kena mantap.Iaitu headline yg kukuh bg menarik minat pmbaca utk truskn mmbaca ayt yg strsnya. :)

Ezal R said...

saya_arief,
memang smart, tapi macam biasalah.. harga pun mesti lebih..hehe

Nizam,
Kalau ko bg duet aku aku seketol2 macam harga die, boleh la aku beli..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...