Monday, November 08, 2010

Ibadat Haji 14 Nov

Ibadat haji di Mekah akan bermula pada 14 November ini selepas pihak berkuasa Arab Saudi semalam menetapkan 16 November ini sebagai tarikh Hari Raya Aidiladha berikutan kelihatannya anak bulan Zulhijjah.

Selepas ahli falak kerajaan mengesahkan kelihatannya anak bulan Zulhijjah malam tadi, Mahkamah Agung mengisytiharkan hari ini sebagai hari pertama bulan haji dan 16 November sebagai bersamaan 10 Zulhijjah, lapor agensi berita rasmi SPA.

Keputusan itu bermakna ibadat haji akan bermula pada 14 November ini, bersamaan 8 Zulhijjah.

Lebih 1.5 juta umat Islam dari seluruh dunia sudah pun berkumpul di kota-kota suci Mekah dan Madinah untuk tujuan menunaikan ibadat haji, dalam perhimpunan tahunan terbesar umat Islam di dunia.

Pihak berkuasa Arab Saudi menganggarkan sejumlah dua juta jemaah akan mengerjakan haji pada tahun ini.

Aidiladha atau Hari Raya Korban memperingati ketaatan Nabi Ibrahim untuk melaksanakan perintah Allah supaya menyembelih anaknya, Nabi Ismail.

Atas ketaatannya itu, Nabi Ibrahim kemudian dibenarkan menyembelih seekor kibas sebagai ganti dan umat Islam di seluruh dunia memperingati peristiwa itu dengan melakukan ibadat korban. – Utusan Malaysia




No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...