Thursday, January 06, 2011

Jenazah Naik Helikopter Kerana Jalan Rosak Akibat Hujan

GUA MUSANG - Jenazah Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Sekolah Kebangsaan Balar, Razali Awang, 56, yang meninggal dunia akibat serangan jantung di sekolah itu, terpaksa dibawa keluar menggunakan helikopter bomba.
Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah Gua Musang, Marakasmedee Che Ab Rahman berkata, pihaknya terpaksa mendapatkan bantuan Unit Udara Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur selepas jalan darat tidak boleh dilalui kerana rosak teruk akibat hujan.
“Allahyarham meninggal dunia kira-kira pukul 1 petang apabila rebah di kantin asrama sekolah itu, dan jenazahnya terkandas untuk dibawa keluar dengan menggunakan kenderaan melalui jalan darat,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata, pada mulanya, jenazah itu diterbangkan oleh helikopter Jabatan Hal Ehwal Orang Asli, namun ia gagal mendarat di Pos Balar kerana cuaca buruk.
Jenazah Razali dibawa ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat sebelum dihantar ke rumahnya di Kampung Padang Pak Amat, Pasir Puteh untuk dikebumikan.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...