Friday, January 28, 2011

Umat Islam Bertambah Lebih Cepat




Penduduk Islam di dunia akan bertambah sekali ganda lebih cepat berbanding penduduk bukan Islam dalam tempoh 20 tahun akan datang.

Satu kajian terbaru oleh Pew Forum on Religion and Public Life juga meramalkan, umat Islam dalam masa satu generasi akan menyamai lebih 25 peratus daripada penduduk dunia.

Penyelidik Pew Forum yang menggunakan kadar kesuburan, kematian dan penghijrahan menjangkakan kadar pertumbuhan penduduk Islam di dunia pada paras 1.5 peratus setahun dalam tempoh dua dekad akan datang, manakala bagi penduduk bukan Islam, kadar pertumbuhan hanya 0.7 peratus setahun.

Kajian berjudul The Future of the Global Muslim Population itu mengunjurkan pada 2030 umat Islam akan menyamai 26.4 peratus daripada penduduk dunia yang dijangka berjumlah kira-kira 8.3 bilion orang pada waktu itu.

Peratusan itu menandakan kenaikan tiga peratus berbanding 23.4 peratus yang merupakan penduduk Islam daripada kira-kira 6.9 bilion penduduk dunia pada masa kini.

Lebih daripada enam dalam setiap 10 penduduk Islam akan mendiami rantau Asia Pasifik pada 2030 dan Pakistan akan mengatasi Indonesia sebagai negara yang mempunyai penduduk Islam paling ramai.

Di Afrika, penduduk Islam di Nigeria dijangka lebih ramai daripada penduduk Islam di Mesir dalam tempoh 20 tahun, menurut kajian itu.

Di Eropah, Pew Forum meramalkan penduduk Islam akan bertambah hampir 33 peratus dalam tempoh 20 tahun, daripada 44.1 juta orang atau enam peratus daripada penduduk Eropah pada 2010, kepada 58.2 juta atau lapan peratus daripada keseluruhan penduduk pada 2030.



Sementara itu, Amerika Syarikat (AS) dijangka mempunyai penduduk Islam yang lebih ramai berbanding mana-mana negara Eropah kecuali Rusia dan Perancis pada 2030.

Peratusan penduduk Islam daripada keseluruhan penduduk AS diramalkan meningkat daripada kurang daripada satu peratus pada masa sekarang kepada 1.7 peratus pada 2030, menjadikan bilangan umat Islam seramai penganut Yahudi atau Kristian di AS, menurut kajian itu.

Penduduk Islam di AS dijangka bertambah daripada 2.6 juta pada 2010 kepada 6.2 juta pada 2030. - Utusan


p/s: Kekuasaan Allah SWT, semakin banyak penindasan terhadap Islam, semakin ramai yang cuba nk mendalami Islam, seterusnya menganut agama Allah ini... Semoga Islam terus kuat..Amin!!


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...