Monday, April 30, 2012

Biasiswa PTPTN


KETIKA usul mewujudkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dibentangkan di Dewan Rakyat, kira-kira 15 tahun lalu, semua pihak mengalukan cadangan termasuk pembangkang kerana bersetuju dengan matlamatnya membiayai pengajian pelajar kurang mampu.
Selama itu juga tiada langsung isu untuk mengurangkan, menghentikan atau memansuhkan pinjaman pelajaran itu..

Cuma, isunya berkisar kepada kaedah pelepasan pinjaman berdasarkan prestasi akademik, kaedah bayaran balik, pengurangan faedah isu caj satu peratus pengurusan (Ujrah).

Dulu PTPTN bukan isu pendidikan atau kewangan utama negara. Hanya sejak beberapa tahun kebelakangan ini, wujud trend pembayaran semula yang meleset dan menjadi igauan kepada peminjam tegar yang gagal menjelaskan bayaran. 

Isu PTPTN hanya timbul berikutan kegagalan pelajar membayar pinjaman, sekali gus melambangkan nilai integriti, sikap bertanggungjawab dan amanah yang sangat rendah. Jika dibiarkan, fenomena ‘tidak perlu bayar hutang’ dan ‘lari daripada hutang’ akan menjejaskan sistem pengurusan PTPTN itu sendiri.


Bahkan kebolehpasaran graduan juga terjejas disebabkan nilai integriti yang rendah serta memberi kesan hutang kepada kewangan negara, terutama bagi pembayar cukai serta pelajar jujur yang sudah menjelaskan pinjaman pengajian. 
Di sebalik trend negatif itu, pembangkang dilihat menangguk di air keruh dengan cuba memperalatkan kelompok peminjam degil tegar supaya melepaskan tanggungjawab membayar hutang. 

Nampaknya, lebih 100,000 peminjam atau kira-kira 22 peratus daripada jumlah keseluruhan sudah mula ‘termakan’ gula-gula yang ditabur pembangkang. 

Ia sebenarnya tidak adil kepada 78 peratus peminjam lain yang sudah atau sedang membayar semula pinjaman. Jika mahukan percuma, kenapa tidak merebut peluang automatik mendapat biasiswa dengan syarat mesti mencapai tahap kelas pertama.

Anehnya, bonus percuma itu tidak menjadi rebutan, sebaliknya sibuk dengan demonstrasi jalanan. Bahkan, jika dikaji sepintas lalu, ada antaranya termasuk pemimpin Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) yang kerap ke depan menuntut pengajian percuma sebenarnya adalah pelajar lemah dalam pengajian.

Ada yang bertukar universiti, kerap menukar kursus pengajian atau gagal menamatkan pengajian dalam tempoh ditetapkan. Itukah yang dijadikan pemimpin menuntut hak percuma?

Kenapa mereka tidak perjuangkan nasib diri terlebih dulu dengan mencatatkan kejayaan cemerlang, barulah kepemimpinannya lebih dihormati dan boleh dijadikan contoh, bukannya menjadi ‘hero jalanan.’

Presiden Lembaga Pengarah Kaunselor Malaysia merangkap Pengarah Institut Sosial Malaysia, Prof Madya Dr Mohamed Fadzil Che Din menyifatkan PTPTN ialah saluran membantu anak keluarga golongan sederhana untuk meneruskan cita-cita memperoleh pelajaran tinggi dan berjaya dalam kerjaya.

“Anak yang berjaya diharap membantu keluarga miskin, memacu keluarga ke tahap lebih baik. Ini adalah ruang dan peluang untuk golongan keluarga miskin keluar daripada kitaran bahaya sosial melalui pembangunan pendidikan anak masing-masing,” katanya. 

Atas sebab itulah katanya, janji pembangkang memberikan pinjaman percuma kepada pelajar miskin dengan keluarga kaya disyaratkan membayar balik pinjaman boleh menimbulkan tanggapan apa sebenarnya niat memansuhkan PTPTN. 

Timbul isu siapa yang dikatakan kaya dan mesti membayar semua hutang atau menanggung sendiri pengajian anak mereka. Siapa pula yang akan dikatakan miskin dan layak menerima pembiayaan pendidikan percuma.

“Adakah isu pinjaman percuma sama dengan pemberian air percuma. Orang kaya yang tinggal di rumah teres atau banglo yang mempunyai alamat persendirian mendapat air percuma. Tetapi orang miskin yang tinggal di apartmen yang berkongsi meter kelompok tidak menerima bantuan air percuma seperti dinikmati orang kaya,” katanya. 

Sama ada anak keluarga miskin atau kaya, nilai amanah, bertanggungjawab, berdaya juang, berdaya saing, sentiasa berusaha dan berintegriti adalah nilai sejagat bangsa berjaya yang perlu ada dalam semua anak dan ahli keluarga.

Jika subsidi atau amalan ‘pemberian percuma’ diberikan, ia boleh menimbulkan rasa iri hati terutama dalam kalangan anak orang berada yang rajin dan sentiasa kompetitif.

Paling terasa ialah pelajar rajin daripada keluarga berpendapatan yang melepasi sedikit paras kategori miskin. Mereka berasa teraniaya jika anak keluarga miskin yang malas dan berfoya-foya dengan duit yuran percuma tetapi gagal menghasilkan keputusan baik berbanding mereka yang bertungkus lumus rajin berusaha. 

Mereka tidak layak menerima pendidikan percuma disebabkan keluarganya mempunyai pendapatan sedikit lebih berbanding pelajar miskin tadi. 

Janji kabur sebegini akan memberi impak ketidakadilan kepada keluarga kategori melepasi kadar kemiskinan, contohnya pendapatan isi rumah mencecah RM5,000 sebulan kerana golongan pertengahan inilah paling ramai di Malaysia. 

Perlu diingat, mereka juga wajib membayar cukai rumah, cukai tanah, cukai pendapatan, zakat, kos persekolahan anak, kos pengajian tinggi anak dan pelbagai kos sara hidup lain. 

Keluarga miskin bebas daripada membayar cukai, zakat, tetapi mendapat bantuan persekolahan anak, bantuan PTPTN, bantuan komuniti dan mungkin bantuan zakat.

Seadilnya, jika mahu diberikan pembiayaan percuma PTPTN, ia harus dinilai daripada usaha keras serta pencapaian cemerlang. Pendidikan percuma sudah diberikan pada peringkat rendah dan menengah. 

Untuk peringkat pengajian tinggi, sepatutnya siapa yang berusaha lebih, gigih, merekalah yang layak menerimanya ‘bonus’ atas usaha mereka. - BH


p/s : Sedih dengan keadaan Malaysia sekarang!!

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...