Dengan penyertaan kumpulan popular itu dalam KRU, menurut Norman, ia sekali gus membuktikan label itu bersikap terbuka menerima karya orang lain.
"Sebelum ini ramai mengatakan kami banyak menggunakan tenaga kerja dalaman untuk berkarya. Bagi album Wings nanti, kami tidak akan campur tangan dalam soal rakaman, konsep lagu dan susunan muzik. Semuanya kami serahkan kepada mereka. Cuma kami akan terbabit dalam soal pemasaran, promosi, pembikinan klip video dan juga pemasaran dari segi digital," terangnya.
Norman bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah sebenar dikeluarkan untuk mendapatkan kumpulan terbabit. Sebaliknya dia menyifatkan kerjasama itu sebagai situasi menang-menang buat kedua-dua pihak.
"Kontrak ini dibuat berdasarkan persahabatan dan mengikut projek album. Kalau mereka puas hati, kerjasama ini boleh disambung lagi," kata Norman.
Ambil masa fikir tawaran
Sementara itu, Awie mendedahkan keputusan menerima tawaran itu tidak dibuat dalam sekelip mata. Banyak perkara perlu diambil kira supaya hasrat menghasilkan album terbaik selepas sedekad tanpa produk baru dapat dicapai.
"Sebelum ini memang ada syarikat rakaman lain menawarkan kami untuk menjadi artis rakaman mereka. Namun kami tolak kerana tawaran itu tidak memenuhi kehendak kami.
"Pemilihan KRU Music sebagai label baru kami ini pun mengambil masa agak lama.
Selepas membuat perubahan dari segi kontrak dan masing-masing puas hati, barulah kami bersetuju menyertai mereka," katanya yang menandatangani kontrak itu awal bulan ini.
Kejayaan demi kejayaan dilakar Norman, Yusry dan Edry serta keupayaan mereka mengendalikan label itu membuatkan mereka yakin untuk menerima tawaran berkenaan.
Mengenai pembikinan album yang berjudul Menakluk Kosmos itu, Awie berkata, mereka masih lagi mencari material yang sesuai.
"Ada beberapa lagu sudah pun dirakam dan kami akan masuk ke studio lagi pada hari ketiga puasa. Memang agak sukar untuk kami mencari lagu baru yang sesuai dengan cita rasa masa kini.
"Walaupun ada pembaharuan tapi tanda dagang muzik Wings, iaitu bunyi gitar dan ketukan dram, tetap dikekalkan," ujarnya.
Kali terakhir Wing merakamkan album ialah sedekad lalu menerusi Naga K'ramat terbitan BMG.
Sumber Utusan
No comments:
Post a Comment