Saturday, October 02, 2010

Adakah Melayu Rasis?

This article is taken from here

Keengganan guna bahasa kebangsaan pamer sikap tak patriotik

SUNGGUH menakjubkan dan sungguh mencemaskan. Inilah perasaan awal saya melihat perkembangan dewasa ini mengenai kedudukan orang Melayu. Kini sudah wujud semacam golongan yang terang-terangan mempersoal peruntukan Perlembagaan yang memberikan kedudukan istimewa kepada Melayu.

Yang menakjubkan pihak yang terang-terangan mahu hapuskan kedudukan istimewa itu, selain daripada mempersoalkan kedaulatan Sultan Melayu, malah agama Islam sebagai agama rasmi negara ini tidak pula dicap rasis?

Semua perkara ini sudah diterima semua yang mengakui diri sebagai rakyat negara ini sebagai suatu wadah kebangsaan guna memupuk keharmonian hidup dan perasaan kebangsaan menjelang pengisytiharan kemerdekaan lebih 53 tahun dulu.

Kiranya peruntukan ini sudah diterima sebagai kehendak dalam usaha memupuk perasaan kebangsaan dan keharmonian antara semua rakyatnya kenapa pula kini semua hal ini hendak diperlekehkan? Anehnya bila ada pertubuhan yang hendak pertahankan perkara yang sudah pun dipersetujui itu sebagai reaksi kepada pihak yang mempersoalkannya, pertubuhan itu pula dituduh sebagai rasis.

Puak yang terang-terangan mempersoalkan apa yang sudah diterima sejak sekian lama ini tidak pula dicap sebagai rasis. Sungguh menakjubkan dan amat mencemaskan.

Lebih mengaibkan malah amat mengharukan ialah pertubuhan, termasuk syarikat bukan Melayu yang berterusan memperlekehkan penggunaan bahasa Melayu, iaitu bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara ini yang sudah pun diterima pakai dalam gugusan ini sejak berkurun lalu.

Ia juga diiktiraf sebagai bahasa perpaduan. Apakah mereka yang berterusan memperlekehkan penggunaannya tidak mahu wujud perpaduan dalam negara?
Dalam pada itu pertubuhan bukan Melayu berterusan memperjuangkan kedudukan mereka. Apakah apabila dengan megah tidak sedikit pun mengendahkan penggunaan bahasa Melayu misalnya, pun tidak mengapa?

Mereka ini termasuklah beberapa pertubuhan Cina seperti Suqui dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Cina lain berterusan mengabaikan kepentingan kebangsaan tidak pula dilabelkan sebagai rasis, jauh sekali hendak diheret minta penjelasan apakah negara ini mengamalkan pelbagai bahasa? Sejak bila pula bahasa Mandarin sudah menjadi bahasa negara ini dan tidak lagi bahasa sukuan?

Inilah dianya, apabila begitu melutut hendak mengambil hati orang hingga mereka ini memanjat kepala kita pun tidak mengapa?

Apa sebenarnya sudah terjadi di negara ini? Apakah ini maknanya 1Malaysia? Kenapakah hingga orang lain berani mengabaikan bahasa yang sudah diiktiraf sebagai bahasa penyatuan dan perpaduan diabaikan demikian pun tidak mengapa?
Jadi tidak menghairankan apabila ada NGO Cina mengancam hendak boikot program bancian penduduk hanya kerana menggunakan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris saja tanpa menggunakan Mandarin dalam risalahnya pun dilayan?

Sejak bila pula Mandarin sudah menjadi bahasa negara ini? Kenapa selepas sudah merdeka selama 53 tahun pun masih ada warganya yang begitu sombong tidak mahu menggunakan bahasa kebangsaan dan dilayan pula?

Sebenarnya mereka ini bukan saja tidak harus dilayan, tetapi tindakan sepatutnya sudah boleh diambil terhadap mereka kerana mahu mengabaikan suatu ketetapan yang diiktiraf sebagai satu cara memupuk perpaduan. Apakah pertubuhan ini dan ahli sehaluannya tidak mahu menghormati usaha mewujudkan perpaduan?

Apakah yang perlu dilakukan demi perpaduan negara? Kenapakah apabila ada orang yang begitu rakus mengakui diri sebagai rakyat negara ini, tetapi sedikit pun tidak mahu menerima ketetapan yang dipersetujukan sekian lama dulu, itu pun tidak mengapa?

Sepatutnya semua rakyat yang menganggap diri sebagai rakyat negara ini sudah melaksanakan kehendak ini. Semua rakyat yang cintakan perpaduan sepatutnya sudah boleh bertutur, membaca dan menulis dalam bahasa ini. Termasuk pemimpin kerajaan, badan-badan kerajaan dan bukan kerajaan.

Tidak harus wujud pemimpin negara lebih-lebih lagi menteri yang jelas kelihatan merangkak-rangkak hendak bercakap bahasa Melayu. Kenapa demikian? Jika tidak fasih. Belajar! susah sangatkah?

Mulai sekarang semua acara nasional dan dianggap rasmi hendaklah dilakukan dalam bahasa Melayu. Bahasa Inggeris seharusnya dikhaskan untuk acara bersifat antarabangsa saja. Sesiapa saja yang tidak menghormati bahasa Melayu jangan dilayan.

Demikian juga media elektronik kerajaan, malah media swasta juga termasuk stesen radio dan televisyen kecuali stesen bahasa sukuan tidak harus dibenar mewawancara rakyat negara ini dalam bahasa lain, selain bahasa kebangsaan. Jika mereka ini tidak sanggup bertutur bahasa Melayu jangan temuramah mereka. Habis cerita.

Sudah 53 tahun kita merdeka, apakah masih perlu orang yang tidak tahu bertutur atau faham bahasa kebangsaan masih hendak dilayan? Dewan Bahasa dan Pustaka hendaklah diberi kuasa penuh menghukum mereka yang tidak menghormati kedudukan begini.

Dalam pada itu, memandangkan pentingnya pengetahuan bertutur dan menulis bahasa Inggeris untuk kepentingan pasaran, semua lulusan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sepatutnya sudah boleh bertutur dan faham bahasa Inggeris dengan baik apabila saja mereka lulus dan keluar untuk mencari pekerjaan.

Jika tidak kursus intensif untuk membekalkan mereka dengan pengetahuan ini perlu dilaksanakan supaya mereka tidak gugup dan kaku hendak berbahasa Inggeris apabila ditemuduga untuk mendapatkan pekerjaan.

Sememangnya tidak dinafikan bahasa Inggeris penting dalam suasana pekerjaan, tetapi ini tidak bermakna bahasa Melayu pula mahu dipinggirkan. Inilah saja caranya untuk terus mendaulatkan bahasa Melayu, di samping memberikan penekanan terhadap bahasa Inggeris. Apa susah sangatkah hendak melaksanakan semua perkara ini?

Apakah orang Melayu rasis? Bukankah Melayu suatu suku etnik yang sungguh inklusif, iaitu sanggup menerima sesiapa saja sebagai Melayu asalkan memenuhi tiga syarat yang wujud dalam Perlembagaan Persekutuan, iaitu bertutur bahasa Melayu secara lazim, mengikut adat resam Melayu dan beragama Islam. Soal etnik tidak timbul pun. Apakah ini pun rasis?

Penulis ialah Felo Kanan UKM

Hang Tuah pernah berkata .." Tak akan Melayu hilang di dunia"..

p/s : kalau perkara begini berterusan, lambat laun Melayu akan pupus.. Sultan dan Raja Melayu yang selama ini dianggap lambang kekuasaan melayu akan terhapus macam tu jer.. dah beratus-ratus tahun boleh lenyap dlm sekelip mata.. sedarlah Melayu..jangan jadi penumpang di tanah sendiri hanya kerana tunduk kepada desakan dan permintaan kaum lain...perlembagaan harus dipertahankan, bukan dipolitikkan!!!


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...