Polis menahan seorang wanita warga Togo yang menyembunyikan dadah jenis syabu seberat 2.2 kilogram bernilai RM562,000 dalam satu bekas ais yang dipenuhi ikan masin dan cili padi kering di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Jumaat lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Asisten Komisioner Nordin Kadir, berkata wanita itu dipercayai cuba menggunakan ikan masin dan cili padi kering berkenaan bagi mengelirukan anjing pengesan daripada menghidu dadah yang dibawanya.Bagaimanapun, beliau berkata, wanita berusia 32 tahun itu ditahan polis sebaik tiba dari Dubai pada 11.40 pagi selepas dilihat berada dalam keadaan yang mencurigakan."Pada mulanya, memang kita tidak temui apa-apa selain ikan masin dan cili kering, tetapi selepas pemeriksaan terperinci dilakukan, kita temui dua paket dadah disembunyikan di ruang kosong kiri dan kanan bekas ais.
"Ruang kosong tersebut sebenarnya dilapisi gabus yang menjadi bahan penebat bekas, tetapi gabus itu sudah dibuang dan digantikan dengan dua paket plastik syabu," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Nordin berkata, siasatan awal mendapati wanita itu adalah seorang peniaga runcit dan dia diupah sebanyak AS$2,000 (RM6,192) untuk menyeludup masuk syabu.
"Wanita itu didapati baru pertama kali masuk ke negara ini, dan syabu dibawa dipercayai untuk pasaran tempatan," katanya.
Beliau berkata, polis narkotik KLIA dan Bukit Aman turut menahan seorang wanita warga Thailand yang baru tiba dari Buenos Aires, Argentina kerana disyaki cuba menyeludup dadah jenis kokain.
Katanya, wanita itu ditahan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan, namun selepas bagasinya diperiksa, polis tidak menemui sebarang dadah.
"Bagaimanapun, kita tetap bawa wanita berusia 26 tahun ini ke Hospital Serdang untuk menjalani ujian X-ray dan hasilnya kita dapati terdapat beberapa objek pelik, dipercayai kapsul berisi dadah di dalam perutnya.
"Selepas tiga hari melalui proses buang air besar, sebanyak 82 kapsul berisi kokain seberat 1.1 kilogram bernilai RM240,000 berjaya dikeluarkan," katanya.
Nordin berkata, wanita itu yang juga seorang peniaga runcit, didapati sudah tiga kali masuk ke negara ini, dan dia disyaki dijadikan keldai dadah untuk menyeludup kokain.
"Kita percaya kokain ini bukan untuk pasaran negara ini, sebaliknya akan diseludup semula ke Bangkok, kerana wanita ini akan berlepas ke Bangkok sehari selepas tiba di Malaysia," katanya.
Beliau berkata, kedua-dua wanita tersebut ditahan reman sehingga Sabtu ini mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum gantung sampai mati. - Berita Harian
Tuesday, November 09, 2010
Seludup Dadah Guna Ikan Masin dan Cili Kering
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment