Istana Anak Bukit
Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, semalam mengingatkan rakyat supaya berwaspada dan menolak cubaan pihak tertentu untuk mengaitkan institusi Raja ke dalam sebarang isu berbangkit, termasuk politik yang sering berlaku sejak akhir-akhir ini.
Bertitah sempena Hari Keputeraan baginda yang ke-83 di Balai Penghadapan, Istana Anak Bukit di sini, baginda meminta rakyat memelihara suasana aman bagi membolehkan tumpuan untuk meningkatkan taraf hidup masing-masing.
Titah baginda, peristiwa di beberapa tempat lain sebelum ini menyebabkan perpecahan di kalangan rakyat kerana permainan politik tidak mengambil kira soal ketenteraman awam hingga mencetuskan huru-hara yang wajar dijadikan renungan.
“Rakyat negeri ini hendaklah sentiasa waspada dan menolak percubaan pihak tertentu membabitkan beta dalam apa-apa isu berbangkit.
“Beta yakin ikatan perpaduan yang erat dan kukuh di kalangan penduduk berbilang kaum masa kini dapat menjadi benteng untuk memelihara keamanan, oleh itu usaha kerajaan beta untuk mengeratkan perpaduan antara kaum hendaklah disokong sepenuhnya,” titah baginda.
Pada majlis berkenaan 83 individu menerima bintang kebesaran sempena sambutan hari keputeraan baginda.
Bekas Menteri Besar Kedah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pedu dan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Seri Mahdzir Khalid mendahului senarai apabila dianugerahkan Darjah Orang Besar Lapan yang membawa gelaran Datuk Seri Mahawangsa.
Sultan Kedah turut mengingatkan kerajaan negeri supaya mengurangkan kerenah birokrasi yang sering dikaitkan dengan kelewatan menyiapkan sesuatu projek demi kepentingan semua pihak.
"Beta percaya apa yang dikerjakan tidak akan bermakna jika tiada perubahan sikap dan minda di dalam proses pentadbiran dan pengurusan dengan pelabur serta pedagang.
"Beta percaya kestabilan politik dan kemantapan jentera kerajaan akan menarik lebih ramai pelabur memilih negeri ini sebagai lokasi pelaburan yang menguntungkan mereka," titah baginda.
Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dalam ucapan menyembah tahniah berkata, pentadbiran negeri sepanjang 2010 berjalan lancar dalam suasana politik yang stabil dan suasana yang kondusif itu memberi ruang dan peluang yang luas kepada kerajaan untuk merancang beberapa program baru bagi membantu memacu ekonomi.- Berita Harian
p/s: DAULAT TUANKU!! Semoga terus panjang umur...( kalau atok aku masing hidup, mesti dah sama umur ngn Sultan Kedah..huhu Al-Fatihah)
1 comment:
hai,ezal i nk ucap tq sgt sbb bgtau pasal komen tp i nk taip kat shoutMix tp dia blank putih so i taip kat sini..tq sgt
Post a Comment