Monday, January 10, 2011

Rahsia Kobis Merah



Kobis merah sering digunakan untuk membuat salad namun kobis ini boleh dimakan mentah atau dimasak. Ia boleh dicampurkan dengan ayam, sosej, dan buah-buahan bagi menambah kelazatan menikmati kobis ini.
Kobis merah (Brassica oleracea var. capitata f. rubra) adalah keluarga kobis yang berbentuk bulat, padat dan berwarna merah atau ungu. Berasa sedikit kelat tetapi rangup.

Rasanya lebih lazat sekiranya warnanya bertambah gelap. Jika dibelah anda boleh mendapati ada warna putih berselang seli dengan warna merahnya. Itu yang membuat sayur ini kelihatan mempesonakan.
Warna merah dan ungu terbentuk daripada pigmen yang di kenali sebagai anthocyonin iaitu anti-oksida dalam kelas flavonoid yang sangat baik untuk memerangi radikal bebas dalam badan. Ia dapat mengurang dan mengelakkan risiko mendapat kanser.


Kobis merah juga tidak mengandungi lemak dan bebas dari kandungan kolesterol, kaya dengan kandungan zat besi, vitamin C, riboflavin, potasium dan serat diet. Secawan kobis yang dikisar mengandungi 25 kalori. Dengan kandungan khasiatnya, kobis merah dapat melindungi kita daripada mendapat penyakit.

Kobis merah mengandungi banyak vitamin, mineral dan klorofil yang larut dalam air. Oleh itu ikuti panduan bagaimana anda dapat mengurangkan kehilangan vitamin apabila anda memasak kobis merah.

Sebenarnya adalah lebih bagus jika anda menikmati kobis merah ini secara mentah tanpa dimasak. Jika anda mengambilnya secara mentah pastikan kobis ini dihiris nipis atau dicincang kecil.

Dengan berbuat demikian kobis akan mengeluarkan sejenis enzim myrosinase yang kemudian akan menghasilkan glucosinolates yang bertindak sebagai anti kanser.

Teknik mengukus terbukti dapat melindungi nutrien kobis daripada hilang. Memasak pula boleh membantutkan penghasilan glucosinolates, jadi jika ingin memasak kobis merah hiris sederhana tebal dan biarkan 5-10 minit sebelum dimasak.

Jangan terlalu lama dimasak kerana itu akan mengurang dan menghilangkan glucosinatesserta nutrien lain dalam kobis merah. Untuk memasak, panaskan periuk dengan air setinggi 2 sentimeter. Air jangan terlalu banyak kerana ia akan menyebabkan nutrien dan warnanya akan hilang dalam air. Campurkan dengan sedikit cuka atau jus sitrus agar warnanya dapat dikekalkan.

Sumber di sini

Sharing is Caring

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...