Tuesday, February 22, 2011

Josiah Ng Pengganti Azizulhasni

SEMALAM, Azizulhasni Awang - atlit bersemangat waja - dipetik menyebut dia akan kembali pulih dalam tempoh dua minggu lagi tetapi John Beasley tidak mahu mengambil sebarang risiko, sebaliknya kini menyandar harapan ke atas rakan sepasukannya, Josiah Ng mencipta gemilang untuk negara di Kejohanan Trek Dunia di Apeldoorn, Belanda, bulan depan. 



Ketua jurulatih negara itu tidak mahu terburu-buru menurunkan Azizul di pentas saingan berkenaan membabitkan pelumba elit dunia walaupun dia sudah pulih sepenuhnya.
“Sasaran utama Malaysia adalah memburu pingat emas di Sukan Olimpik 2012. Jadi kita perlu memastikan keadaannya berada pada tahap terbaik ketika itu,” katanya.


“Memang mengecewakan tidak dapat menurunkan Azizul ke kejohanan dunia, tetapi kami mahu dia kembali ke trek perlahan-lahan. Dia hanya bimbang misi Olimpiknya, tetapi kami akan pastikan dia akan bersedia pada masanya.” 

Sementara itu, pengurus pasukan trek kebangsaan, Datuk Naim Mohamad berkata, semangat juang luar biasa Azizul tidak akan dibiarkan padam. “Saya pasti semangatnya berkobar-kobar untuk menyertai Kejohanan Dunia, tetapi kita perlu memikirkan kebaikannya untuk jangka masa panjang. 


“Josiah (Ng) mampu mengisi kekosongan ditinggalkan Azizul di Apeldoorn nanti. Misi utama Azizul adalah emas Olimpik, jadi kita kena memastikan prestasinya berada di tahap maksimum menjelang temasya di London itu,” kata Naim, semalam. 

Selepas pembedahan kecil mengeluarkan serpihan kayu itu berjalan lancar di Manchester Royal Infirmary, England, kelmarin, kumpulan doktor pakar yang merawatnya mengatakan dia akan mampu kembali berkayuh dalam tempoh dua minggu. - Berita Harian



p/s: rakyat Malaysia, sama-samalah kita mendoakan semoga Azizulhasni cepat sembuh dan semoga Malaysia terus berjaya. Malaysia Boleh!!

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...