PELANTIKAN bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tan Sri Rafidah Aziz sebagai Pengerusi baru AirAsia X, bertujuan memanfaatkan kepakaran, pengalaman, pengaruh serta hubungan meluas beliau, kata Datuk Kamarudin Meranun.
Rafidah, 68, bekas menteri paling lama pernah berkhidmat di MITI, akan dilantik menggantikan Kamarudin sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif pengendali perkhidmatan penerbangan tambang murah jarak jauh itu, pada Khamis ini.
Lembaga Pengarah AirAsia X akan bermesyuarat Khamis ini bagi mengesahkan pelantikan Rafidah, yang sebelum ini sudah bersetuju menerima jawatan berkenaan.
“Apabila AirAsia X membesar, lebih banyaklah pula cabarannya. Sehubungan itu Lembaga Pengarah AirAsia X memutuskan untuk membawa masuk seorang tokoh perunding sepenuh masa yang tegas, pragmatik dan petah yang mampu menyampaikan keperluan AirAsia X dengan lebih berkesan kepada Kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis memeterai perjanjian pembelian tiga pesawat Airbus A330-200 antara AirAsia X dan Airbus di Kuala Lumpur, semalam.
Kamarudin mewakili AirAsia X, manakala Airbus oleh Naib Presiden Eksekutif Jualan dan Pemasarannya, Kiran Rao.
Hadir sama ahli Majlis Ekonomi Kebangsaan (NEC), Datuk Sri Chua Soi Lek; Pengasas AirAsia X, Datuk Sri Tony Fernandes; dan Ketua Eksekutifnya, Azran Osman-Rani.
Buat masa ini, Lembaga Pengarah AirAsia X masih dipengerusikan Kamarudin yang juga adalah Timbalan Ketua Eksekutif AirAsia Bhd, syarikat bersekutu AirAsia X.
AirAsia X ketika ini mempunyai tujuh pengarah mewakili pemegang sahamnya, iaitu AeroVentures Sdn Bhd (52%), AirAsia Bhd (16%), Corvina Holdings (10%), Orix Corp (11%), dan Manara Malaysia Ltd (11%).
AirAsia X adalah syarikat bersekutu AirAsia dan Virgin Group, ditubuhkan pada Januari 2007.
Mengenai tempahan tiga unit pesawat Airbus A330-200, Azran berkata, ia bagi membolehkan AirAsia X menambah destinasi dan kekerapan penerbangan ke Eropah pada masa depan.
Syarikat itu juga katanya, ia berada pada landasan untuk meneruskan rancangan tawaran awam permulaannya (IPO) tahun ini.
Dua daripada tiga pesawat bernilai RM1.5 bilion itu akan diterima tahun depan, manakala baki pada 2014.
“Pesawat generasi baru A300-200 yang lebih jimat penggunaan bahanapi itu akan digunakan bagi membolehkan AirAsia X menambah kekerapan penerbangan ke destinasi Eropah, khususnya ke London dan Paris, selain juga sesuai untuk laluan baru Eropah pada masa depan,” katanya.
Perjanjian terkini dengan Airbus itu menjadikan jumlah tempahan pesawat A330 AirAsia X kepada 28 unit setakat ini.
Azran berkata, pesawat enjin berkembar A300-200 yang ditempah itu adalah dari jenis rangka luas berupaya membuat penerbangan secara terus-menerus dari Kuala Lumpur ke Eropah.
Dalam perkembangan berkaitan, Azran berkata, AirAsia X mensasar meraih pertumbuhan pendapatan sebanyak 53 peratus tahun ini kepada RM2.0 bilion berbanding RM1.3 bilion tahun lalu.
Beliau berkata, AirAsia X mensasar membawa 2.7 juta penumpang tahun ini berbanding 1.92 juta tahun lalu.
Sementara itu ditanya berhubung penyenaraian AirAsia X, Pengasasnya, Datuk Sri Tony Fernandes, berkata ia berkemungkinan membabitkan dwi-penyenaraian, berkemungkinan di Bursa Malaysia dan bursa saham di Amerika Syarikat.
“Kami berada pada landasan untuk melaksanakan IPO dan adalah lebih baik sekiranya berupaya mendapatkan dwi-penyenaraian kerana ia akan meningkatkan lagi prestij kepada negara ini,” katanya.
Ia kini terbang ke 14 destinasi iaitu London, Taipei, Tehran, Paris, Seoul, Tokyo, China (Tianjin, Hangzhou, Chengdu), Australia (Gold Coast, Melbourne, Perth) dan India (Mumbai, Delhi). - Berita Harian
p/s: satu langkah yang bijak oleh AirAsia X dan tahniah atas perlantikan Tan Sri Rafidah Aziz.
No comments:
Post a Comment