Thursday, December 01, 2011

Jangan Sia-Siakan Janggut


Terus terang saya akui, selama ini saya tidak pernah menyimpan janggut. Bukan tidak suka, cuma tidak simpan. Dan saya tidak pernah pun mempertikaikan sesiapa yang menyimpan janggut kerana saya tahu itu sunnah.


Akan tetapi, misai saya meskipun kategorinya hanya jenis misai kucing, yang tumbuhnya jarang-jarang seperti anak pokok getah yang baru ditanam semula, saya simpan.

Dan kerana sayangnya saya pada misai yang jarang itu, saya boleh tidak tidur malam jika hitungan yang saya buat mendapati ia tidak cukup seurat.

Hilang seurat bukan senang mahu diganti. Jangan kata hari, minggu berganti minggu pun belum tentu tumbuh misai baru.

Mengenai janggut, saya tidak kisah sangat. Saya biasa mengandaikan kepada kawan-kawan, jika saya cukur janggut sebelum bertolak, sampai di pejabat, janggut saya sudah boleh dicekak.

Dan satu lagi andaian bida’ah, saya sering mengumpamakan wang (kononnya) dengan janggut saya. Cukur, tumbuh. Cukur lagi, tumbuh lagi. Kononnya. Akan tetapi, tidaklah pernah saya bawa janggut yang baru dicukur ke kedai untuk beli tepung atau gula. Mahu tak cukup tanah lari dikejar sambil dilaung, “orang gila! orang gila!”


Namun sejak sebulan dua lepas, setelah berulang kali mainkan klip video kumpulan rock kegilaan saya sejak remaja, Metallica, saya tiba-tiba jadi tertarik dengan penampilan penyanyi merangkap pemain gitarnya, James Hetfield.

Hetfield kini tidak lagi berambut panjang dengan misai bertaring seperti dulu. Panjang rambutnya sederhana namun sebagai rocker, itu boleh dianggap pendek. Tidak lagi bermisai, namun yang menarik, dia kini berjanggut. Lantas saya pun tiba-tiba teringin mahu berjanggut.

‘Misai kucing’ yang menjadi intan payung saya selama ini, saya cukur licin selicin-licinnya. Tanah sekangkang kera di bawah hidung itu saya sentiasa pastikan licin seperti telur, tiada lagi tunggul-tunggul gerigis.

Jangan! Jangan kata saya agungkan Hetfield, beristighfarlah! Saya sendiri pun beristighfar apabila teringat akan hal itu.

Saya cuma meniru apabila melihat dia nampak lebih segak, kemas, bersih, macho, dewasa - imej yang sepatutnya bagi ahli Kelab 40 - berbanding dulu.

Namun dalam keadaan saya sedang mendekati sesuatu yang sebenarnya adalah sunnah Rasulullah SAW, tiba-tiba saya dipertemukan dengan satu ilmu yang sangat istimewa. Yang menyerlahkan satu lagi bukti saintifik tentang apa yang disunnahkan oleh Nabi kita sejak lebih seribu tahun dahulu.

Dr Jamnul Azhar Mulkan, seorang doktor perubatan, pemilik rangkaian klinik termasuk di kampung saya di Pendang, Kedah, juga seorang pendakwah, dalam satu ceramah, mendedahkan hasil kajian yang sangat luar biasa mengenai khasiat janggut. Ia bukan tunggul gerigis, bukan penyeri atau penyerabut wajah tetapi jauh lebih hebat daripada itu.

Menurutnya, kajian oleh saintis dari Massachusetts Institute of Technology, Amerika Syarikat yang berjudul The Amazing Fact of Human Body mendapati janggut lelaki mengandungi hormon testosteron yang amat diperlukan bagi kesuburan wanita. Ia mampu menstabilkan kitaran haid selain menggalakkan pertumbuhan telur wanita.

SUBHANALLAH!

Dalam kata yang lain, janggut lelaki juga boleh meningkatkan tahap kegalakan wanita pasangannya. Itu saya tambah! Saya terpaksa sebut wanita pasangannya kerana dunia sekarang semakin cacamarba. Bimbang pula nanti ada lelaki yang mahu menjadi wanita, ketagih meraba janggut orang itu, orang ini, dengan harapan mahu jadi subur juga. Jangan! Hanya untuk wanita yang tulen sahaja.

Caranya bagaimana? Hanya melalui sentuhan. Jadi kepada sesiapa yang belum punya anak kerana ada masalah kesuburan, ataupun jarang anak dan mahu dirapatkan lagi, mintalah suami simpan janggut, dan belailah selalu janggut suamimu itu.

Suami pula, apabila sudah diminta oleh isteri, simpanlah. Jangan sampai isteri terpaksa belai bulu jagung pula! Bulu jagung tiada manfaat apa-apa.

Kata Dr Jamnul Azhar lagi, kajian itu beberapa kali diulang tayang oleh National Geographic.

Ini sekali gus jadi bukti apa yang disaran oleh Islam sejak zaman silam, boleh dibuktikan secara saintifik akan hikmah dan kelebihannya.

Saya beristighfar. Hati kini, sarat, penuh dan bulat mahu mengikut sunnah Nabi, tiada langsung bayangan James Hetfield.

Saya akan terus menyimpan janggut ini. Sama ada isteri saya masih berminat untuk menyambung produktiviti atau tidak selepas bergelar ’mak aji’, itu terserah pada dia sendiri.

Setakat ini, saya belum memikir soal. Pelan B.

Selamat mencuba ya, puan-puan! (baca dengan intonasi ala Chef Wan).

kopipes from SinarHarian


Sharing is caring.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...