Friday, November 12, 2010

Melayu Pulau Pinang Semakin Pupus Tanah



Pemilikan tanah orang Melayu di Pulau Pinang kini hanya tinggal 20.41 peratus, meskipun kaum itu mewakili 44.89 peratus daripada jumlah penduduk negeri ini. 

Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Betong daripada UMNO, Muhammad Farid Saad, berkata lebih membimbangkan, Daerah Timur Laut iaitu kawasan paling pesat membangun di Pulau Pinang, tanah milikan Melayu hanya 1.16 peratus.

Katanya, kajian UMNO Pulau Pinang juga mendapati ada 60 perkampungan Melayu yang mempunyai 7,000 penghuni dibina di atas tanah orang lain.

“Berikutan itu, penduduk bakal kehilangan tempat tinggal pada bila-bila masa,” katanya pada forum bertajuk Penghakisan Tanah Melayu Pulau Pinang anjuran Yayasan Bina Ilmu Pulau Pinang di sini, kelmarin.

Farid adalah salah seorang daripada empat ahli panel forum berkenaan, selain Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG), Datuk Seri Mohd Yusoff Latiff; Ahli Parlimen Parit Buntar daripada PAS, Dr Mujahid Yusuff Rawa dan Presiden TERAS Malaysia, Mohd Azmi Abdul Hamid.

Forum yang menggabungkan parti politik tanpa mengira fahaman dan pertubuhan bukan kerajaan untuk mencari jalan bagi menangani isu penghakisan tanah milikan Melayu, dikendalikan Pensyarah Universiti Sains Malaysia, Prof Amir Hussain Baharuddin.
Pada sesi soal jawab forum itu, seorang peserta mencadangkan supaya satu fatwa dikeluarkan bagi memastikan tanah milikan Melayu di Pulau Pinang tidak terlepas ke tangan bukan Islam.

Mengulas cadangan itu, Farid melihat perkara berkenaan secara positif dan sesuatu yang wajar jika keadaan benar-benar memerlukan.

“Jika berlaku pertukaran milikan tanah yang boleh menyebabkan tiada lagi orang Melayu di sesuatu kawasan sehingga membawa kepada solat Jumaat tidak boleh didirikan kerana tidak cukup jemaah, ia wajar dilakukan,” katanya.

Mujahid, yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang turut bersetuju jika ada fatwa sedemikian, tetapi ia bukan satu jaminan orang Melayu tidak menjual tanah kepada bukan Islam.

“(Kalau ada) fatwa pun boleh berlaku (pertukaran milikan tanah kepada bukan Islam) juga,” katanya sambil menjelaskan faktor tawaran harga lumayan memainkan peranan penting dalam urusan jual beli tanah.

Azmi pula berpandangan, masalah itu memerlukan komitmen yang lebih kerana jika diwujudkan fatwa sekali pun, urusan penjualan tanah kepada bukan Islam akan terus berlaku.- Berita Harian

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...