Friday, February 25, 2011

Proton Rugi Sebelum Cukai

Proton Holdings Bhd mencatatkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM51.535 juta bagi suku ketiga yang berakhir pada 31 Disember, 2010 berbanding dengan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM82.958 juta pada suku yang sama sebelumnya. 



Perolehan bagi suku berkenaan susut kepada RM1.833 bilion daripada RM2.013 bilion, demikian menurut syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.
Bagi tempoh sembilan bulan, Proton mencatatkan keuntungan sebelum cukai lebih rendah sebanyak RM134.379 juta daripada RM247.989 juta sebelumnya walaupun perolehan naik kepada RM6.363 bilion daripada RM5.969 bilion.

"Penurunan dalam keuntungan terutamanya disebabkan oleh kos penjenamaan yang lebih tinggi, serta perbelanjaan penstrukturan semula oleh Lotus Group International Ltd. 

"Sebagai sebahagian pelan transformasi pemulihan Lotus, kumpulan mula melabur dalam perasionalan rangkaian pengedar dan aktiviti penjemanaan bagi menyampaikan pelan perniagaan lima tahun," katanya. 

Ia berkata pada suku ketiga, kumpulan mengalami jumlah jualan domestik yang lebih rendah dan peningkatan perbelanjaan promosi dan pemasaran oleh anak syarikat prinsipal. 

Mengenai masa depan, syarikat itu berkata: "Tinjauan masa depan pasaran domestik dan kenaikan harga bahan api memberi faedah kepada model teras Proton. 

"Dengan sambutan baik dan penyerahan Inspira, prospek kami untuk mengembangkan jumlah dagangan dan meningkatkan bahagian pasaran suku keempat yang berakhir pada 21 Mac, 2011 adalah baik." - Berita Harian

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...